Sunday, June 8, 2008

Peranan Belia Dalam Memperkasa Budaya

Belia merupakan generasi yang akan menggerakkan perubahan dan mencorakkan hala tuju perjalanan negara. Sehubungan itu, belia pada hari ini perlu diperkukuh dengan kemantapan budaya dan ketinggian nilai-nilai kehidupan agar generasi yang terbentuk pada masa hadapan mampu untuk menghadapi cabaran sezaman. Walaupun begitu, persoalan budayalah yang sebenarnya begitu rumit untuk dihadapi. Hal ini demikian memandangkan budaya bukanlah sekadar terhenti di wacana-wacana ilmiah sahaja, tetapi apa yang dapat kita lihat di dalam amalan kehidupan masyarakat. Persoalan budaya tidak wajar dihiaskan dengan polemik yang tidak berkesudahan, tetapi perlu ditangani oleh langkah-langkah proaktif dan dasar yang berkesan. Lebih penting, para pemimpin di setiap lapisan dan lapangan perlu untuk memainkan peranan mencetuskan penjelmaan nilai yang mampu memperkasa masyarakat. Dalam membangunkan budaya, persoalan kepimpinan melalui teladan merupakan kaedah yang paling mudah untuk mengajak masyarakat berubah ke arah kebaikan.

Serangan budaya Barat memanglah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Dengan kemenangan aliran demokrasi-liberal- kapitalisma sebagaimana yang pernah dilontarkan oleh Francis Fukuyama hampir dua dekad lalu , proses globalisasi menjadi ancaman terhadap budaya setempat. Kapitalisma yang menjadikan tujuan mengaut keuntungan semata-mata sebagai terasnya kini tersembunyi di dalam pelbagai bentuk , daripada pemakaian, kecanggihan alat komunikasi, gaya bertutur, muzik, siri realiti televisyen hingglah kepada percambahan pusat-pusat hiburan tanpa memikirkan kesannya kepada budaya masyarakat setempat. . Pada hari ini barulah kita menyedari bahawa globalisasi bukan sahaja terhenti kepada perihal ekonomi dan dasar perdagangan semata-mata, tetapi globalisasi juga wajar dilihat dalam kontek pensejagatan nilai-nilai Amerika ( globalisation of American values).

Dalam konteks Malaysia, kita tidak dapat menyangkal hakikat bahawa generasi belia di negara sedang berhadapan dengan cabaran kebudayaan yang begitu penting. Pada hari ini, generasi belia berhadapan dengan pelbagai bentuk budaya yang bersifat destruktif dan tidak menguntungkan negara. Hal ini terzahir daripada pelbagai salah laku dan masalah sosial yang berpunca daripada budaya hedonisme, sensate dan permisif. Lebih malang lagi, generasi remaja dan belialah yang paling teruk terdedah kepada serangan budaya ini. Generasi muda lebih cenderung menghabiskan masa berpestaan dan berhiburan, menghadiri konsert, berpacaran dan bergaul secara bebas daripada melakukan aktiviti aktiviti yang lebih bermanfaat seperti menggiatkan diri dalam pertubuhan-pertubuhan belia. Lihat sahaja bagaimana generasi muda kita menyambut kedatangan tahun baru, hari kemerdekaan malah ada segelintir pihak yang meraikan perayaan Halloween pada bulan oktober lalu! Amat malang kerana semua ini melunturkan semangat generasi muda dari menyumbang tenaga untuk kebaikan masyarakat dan mereka juga menjadi tidak prihatin terhadap persoalan-persoalan kemasyrakatan yang berlaku di sekeliling mereka setiap hari.

Negara kita sudah mula membicarakan soal kebudayaan kebangsaaan seawal tahun 1971 lagi, menerusi kongress Kebudayaan Kebangsaan yang telah menetapkan tiga komponen utama yang akan mencirikan budaya kebangsaaan, iaitu kebudayaan penduduk asal rantau ini, kebudayaan luar yang sesuai dan wajar dengan realiti setempat dan Islam sebagai pembentuk elemen utama keperibadian budaya kebangsaan. Dari segi dasar, kita sudah mempunyai garis-garis besar haluan pemerkasaan budaya negara. Sungguhpun begitu, yang perlu diberi perhatian pada hari ini adalah soal menerjemahkan dasar ini melalui langkah-langkah yang akan memberikan hasil dan menyegarkan pelaksanaannya. Pendek kata, bagaimana menjelmakan semangat daripada dasar ini?

Memang sewajarnya kita merasa gusar, prihatin dan gelisah dengan segala wabak sosial ini. Hal ini demikian kerana sekiranya tidak ada usaha-usaha terancang dan perancangan budaya ( cultural planning), generasi pada masa hadapan akan lemeh dan tidak mampu menghadapi perubahan sezaman. Kita wajar menjadikan cetusan pemikir Islam Almarhum Malik Bennabi yang telah mengungkapkan perihal kebolehjajahan umat sebagai sindrom colonializibility sebagai amaran kepada kita. Menurut beliau, punca kita mudah terjajah bukanlah disebabkan hebatnya budaya yang menjajah itu, tetapi segalanya bermula apabila kita sendiri sudah melupakan asas-asas jati diri kita sendiri yang terdiri daripada agama, pegangan nilai dan budaya. Hanya apabila kita sudah tidak yakin lagi dengan kekuatan sendiri, barulah penjajahan budaya dan pemikiran lebih mudah berlaku. Kunci penjajahan minda dan budaya adalah kelemahan diri sendiri yang dimiliki!

Begitu juga dengan gejala cultural schizophrenia, iaitu rasa rendah diri terhadap kekuatan budaya sendiri dan merasakan segalanya yang datang dari dunia Barat itu adalah terbaik, melambangkan ketinggian tamadun dan mampu membawa kemajuan negara. Generasi belia di negara pada hari ini perlu kembali merasakan bahawa masyarakat timur mampu untuk maju ke hadapan dengan menjadikan nilai-nilainya sendiri sebagai asas.Tidak ada salahnya kita mengambil nilai-nilai yang positif dari Barat asal sahaja nilai-nilai tersebut mampu disesuaikan dengan aspirasi agama dan budaya setempat.

Kita sewajarnya mengambil iktibar daripada Polemik Kebudayaan yang pernah tercentus di Indonesia seketika dahulu. Pengarang besar Indonesia, Sutan Takdir Alisjahbana yang pernah menjadi pengagum besar budaya barat dan berpegang bahawa rakyat Indonesia hanya akan maju apabila menjadikan Barat sebagai acuan kemajuannya.tetapi kekaguman beliau akhirnya berubah apabila akhirnya beliau mendapati bahawa yang terhasil daripada keghairahan mengikuti acuan kemajuan barat hanyalah generasi “kepalang tanggung”, iaitu generasi yang sudah tercabut dari akar budaya tradisi sendiri, tetapi tidak pula mencapai tingkat kemajuan seperti yang diharapkan.

Prasyarat utama dalam memperkasa budaya adalah memahami bahawa budaya merupakan jelmaan nilai-nilai masyarakat setempat dan bukanlah semata-mata dibataskan kepada stereotaipnya- muzik tradisional, tarian asli, dan sebagainya. Tetapi budaya perlulah ditanggapi sebagai gaya hidup, penghayatan nilai, pancaran peribadi dan perilaku kita dalam kehidupan sehari-hari. Hanya apabila kita memahami erti, tujuan dan peranan budaya barulah kita mampu merangka langkah-langkah berkesan dalam menyuburkannya di tengah-tengah masyarakat. Budaya sebagai jelmaan nilai merupakan asas penting dalam konteks masyarakat malaysia. Hal ini demikian memandangkan sebagai masyarakat Timur, kita ditekankan tentang kepentingan nilai-nilai budaya yang memancarkan kepatuhan terhadap agama dan adat resam tempatan. Sebagai contoh, masyarakat perlu sentiasa ditegaskan dengan kepentingan moral dan kesusilaan dalam segenap aspek. Dalam menghadapi pengaruh budaya barat yang begitu ketara, seperti gaya berpakaian misalnya, masyarakat perlu sentiasa ditekankan bahawa perlu ada garis yang jelas antara masyarakat tempatan dan masyaralkat barat. Kita tidak mahu adanya pemikiran bahawa demi mengejar kemajuan , setiap yang didatangkan dari barat itulah yang terkini dan paling baik untuk semua.

Dengan lahirnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan menjelang tahun 1971 membuktikan bahawa persoalan budaya sememangnya sudah menjadi salah satu perkara yang dititikberatkan oleh kerajaan. Ruang inilah yang perlu dimanfaatkan oleh generasi belia di negara ini dengan sebaik-baiknya. Para pemimpin belia perlu merangka strategi bagi menyedarkan masyarakat bahawa kita perlu terus mempertahankan budaya tempatan sebagai satu cara membina kekuatan generasi yang akan meneruskan kesinambungan negara pada masa hadapan. Hal ini dapat dilakukan dengan memperbanyak penganjuran akktyiviti aktiviti yang dapat membangunkan budaya ilmu, memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam segenap lapangan dan mengetengahkan seni budaya seperti silat dan muzik tradisional yang kaya dengan pengaruh budaya setempat. Selain itu kempen-kempen permartabatan ciri-ciri budaya setempat seperti kempen budi bahasa sewajarnya diperluaskan sehingga masyarakat merasai kesannya.

Asas paling penting yang perlu terlebih dahulu dititik beratkan dalam usaha kita membangunkan budaya adalah kekuatan ilmu. Dengan adanya kekuatan ilmulah sesebuah bangsa dapat membina kekuatan menyaring dan mampu menghadapi serangan budaya yang berlaku saban hari menerusi media massa dengan berjaya.Budaya ilmu akan membentuk rakyat yang memiliki pemikiran yang kritikal, menajamkan rasa prihatin dan membina keyakinan terhadap nilai-nilai mulia warisan masyarakat timur yang perlu dipertahankan. Di samping itu, para pemimpin belia perlulah memikirkan strategi untuk melibatkan generasi belia dengan pelbagai kegiatan yang bermanfaat. Dengan pembabitan lebih ramai belia ke dalam aktiviti-aktiviti sosial, suka rela dan kemasyrakatan, ciri-ciri kepimpinan dan nilai-nilai budaya yang positif dapat dijelmakan ke dalam bentuk perbuatan.